Tuesday 1 July 2014

Ramadhan 1435H

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim

Ahlan ya Ramadhan. 

Ramadhan menjelma lagi. Apa maknanya?

Maknanya Allah memaqbulkan doa kita sejak bulan Rajab yang lalu. Bukankah itu satu rahmat yang sangat besar dari Allah? 

Allah dah maqbulkan doa kita sejak Rajab & Syaaban dan dipanjangkan umur kita untuk menerima tetamu istimewa iaitu Ramadhan al-Mubarak. Jadi buktikanlah kepada Allah yang kita ni berhak diberi peluang menikmati Ramadhan kali ini. 

Conteng-conteng whiteboard di pejabatku

Lailatul Qadr.

Ramadhan adalah bulan yang mulia. Al-Quran dalam bulan Ramadhan. Dalam bulan Ramadhan juga kita diberi keistimewaan malam yang hebat iaitu Lailatul Qadr. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Jika kita buat perkiraan matematik mudah, ianya lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan. Untuk umat akhir zaman seperti sekarang ini, umurnya pendek-pendek berbanding umat terdahulu. Umat terdahulu umurnya panjang berpuluh dan beratus tahun dan umat sekarang, bukannya mudah untuk capai umur 80 tahun. Saban hari kita lihat di dada akhbar dan berita mengenai kematian seperti dibunuh, peperangan, kebuluran, penyakit dan tidak kurang juga kerana kemalangan. Mati tidak kenal usia. Rebutlah peluang mencari malam lailatul Qadr dengan perbanyakkan beribadat dari sekarang dan bukannya menunggu tanda pelik seperti pokok sujud dan sebagainya pada 10 hari terakhir Ramadhan. 

Produktif. 

Ramadhan ini bukanlah satu bulan untuk bermalas-malasan, tidak produktif dan tidak serius. Jika kita menyelusuri lembaran sirah Rasulullah, kita dapat lihat pada zaman baginda dahulu, banyak peristiwa berlaku pada bulan Ramadhan. Ramadhan membawa simbol kemenangan seperti menangnya Islam dalam peperangan seperti Perang Badr al-Kubra dan pembukaan kota Makkah. Jadi muhasabahkan diri. Kita di mana? Apa sumbangan kita kepada umat Islam dan berbaloikah syurga untuk kita dengan sumbangan tersebut?

Di sini saya ingin kongsikan beberapa poster menarik mengenai produktif Ramadhan. 




Hamba Allah vs Hamba Ramadhan. 

Cabaran terbesar dalam bulan Ramadhan ini bukanlah menahan diri daripada makan dan minum, atau menjaga mulut dari kata-kata yang tidak berfaedah. Cabaran terbesar adalah menyedari bahawa musuh terbesar kita adalah diri kita sendiri iaitu nafsu kita. Cabaran terbesar adalah mengawal diri daripada menurut hawa nafsu. 

Dalam bulan Ramadhan ini sangat mudah untuk kita melakukan ibadat kerana ganjaran berganda, tiada syaitan mengacau, dan punya suasana yang memberikan motivasi diri untuk membuat kebaikan. Jadi hasil akhir menilai keberjayaan kita dalam universiti Ramadhan adalah melihat sejauh mana kita kekal menjaga diri dan mengawal hawa nafsu selepas Ramadhan. 

Jadilah hamba Allah, bukannya hamba Ramadhan, peringatan untuk diriku sendiri. 

Peace,
Putrajaya 
Ramadhan 1435H / Julai 2014


1 comment:

  1. Alhamdulillah, you can check my site at theguddeeds.blogspot.com for Islamic activities.

    ReplyDelete