Monday, 21 February 2011

Nilai Akhlaq Segelintir Rakyat Malaysia Cuma Berharga RM4.70?

Atas permintaan rakan-rakan, saya berkongsikan artikel ini secara terbuka.

"Kalau dah bodoh tu, bodoh juga. Tak guna ko belajar tinggi-tinggi" kata seorang pegawai KTM Komuter kepada pengguna Komuter di Stesen Komuter Nilai semasa menunggu komuter yang dijangka tiba pada 9.48 malam 20 Feb 2011 di platform untuk menghala ke UKM.

Bermula daripada saya terlelap apabila dapat duduk dalam komuter yang sesak setelah beberapa penumpang turun di stesyen-stesyen antara KL Sentral dan UKM. Saya terlelap dan apabila saya terjaga, saya tidak tahu saya di mana. Tidak lama kemudian, saya sampai ke Stesyen Batang Benar dan saya hanya tersedar bahawa saya telah terlajak beberapa stesen adalah apabila saya tiba di Nilai kerana destinasi saya adalah UKM.

Di stesen Nilai, saya turun, menggunakan jejantas untuk ke platform utama yang menghala ke Rawang untuk menunggu ketibaan komuter seterusnya. Tidak lama kemudian, seorang pegawai KTM berbangsa Melayu, berkulit sawa matang, tinggi kurang 170cm, tidak berkacamata, yang bermisai tebal datang untuk memeriksa tiket komuter daripada semua orang yang menunggu di platform tersebut. Saya menyatakan bahawa saya menggunakan Touch n Go. Beliau meminta kad tersebut, menyentuh pada mesin keluar dan menyentuh masuk sebelum memulangkan kad tersebut semula kepada saya. Hal ini menyebabkan saya terpaksa membayar tiket perjalanan tambahan untuk kembali ke UKM.

Saya mempersoal tindakan beliau yang tanpa persetujuan saya telah melakukan yang sedemikian. Namun saya terkejut, marah dan kecewa apabila beliau menjawab soalan saya dengan herdikan, cacian dan ugutan. Antara cacian yang beliau lontarkan berbunyi "kalau dah bodoh tu, bodoh juga. Tak guna belajar tinggi-tinggi", "ini adalah stesyen keretapi, saya adalah pegawainya. Setiap hari saya memeriksa beribu-ribu penumpang, bukan kamu seorang. Kalau bodoh tu bodoh juga" dan sebagainya. Saya berasa sangat marah tetapi ditenangkan dengan beristighfar dan seorang anggota polis yang berada di stesen terbabit membawa saya pergi untuk terus duduk menunggu ketibaan komuter.

Saya bertambah kecewa apabila walaupun saya telah duduk untuk menunggu ketibaan komuter, pegawai KTM Komuter terbabit masih terus mengherdik saya dengan kata-kata seperti di atas. Malah beliau mengugut untuk menulis surat kepada universiti supaya saya dibuang dengan alasan sikap saya yang melawan beliau menjalankan tugas.

Saya bukannya melawan, tetapi sekadar mempersoal tindakan beliau. Jika beliau menegur dengan elok, saya tidak kisah untuk membayar tiket tersebut. Bukannya susah, sekadar touch keluar dan touch masuk sahaja dan bukannya mahal sangat pun harga tiketnya.

Saya sangat sayangkan negara Malaysia yang rakyatnya terkenal dengan keramahan dan budi pekerti yang mulia, saya rasa adalah wajib bagi saya untuk menulis artikel ini. Sikap pegawai yang biadab, kurang ajar dan tidak berbudi pekerti dalam menjalankan tugas harus dielakkan daripada berlaku. Jika ianya terus berlaku, saya sarankan pihak KTM dan mana-mana agensi kerajaan atau swasta lain agar mengenakan tindakan disiplin atau memecat sahaja pekerja seperti ini kerana ianya bukan sahaja mencalar reputasi majikan, malah berupaya mencalar nama baik seluruh rakyat Malaysia. Adalah silap bagi saya untuk tidak melihat tag nama pegawai tersebut, namun begitu saya harapkan KTM Komuter dapatlah menyenarai pendek pegawai yang bertugas pada waktu dan hari yang saya terangkan di atas dan mengambil tindakan yang sesuai.

Harga budi bahasa bukannya semurah RM4.70 atau RM2.10 seperti harga tiket KL Sentral ke Nilai dan Nilai ke UKM. Harga budi bahasa lebih mahal daripada itu. Saya sarankan sesuatu tindakan disiplin diambil oleh pegawai-pegawai seperti ini kerana mereka menjadi liabiliti organisasi dan mencemarkan maruah agama, bangsa dan negara Malaysia yang kita cintai ini.

- Insan yang inginkan sikap rakyat Malaysia bertambah baik

Kepada insan yang berkenaan, saya telah menghantarkan artikel ini kepada semua saluran yang ada. Ini termasuklah akhbar, pengurusan KTM, Biro Pengaduan Awam, dan sebagainya. Tujuan saya satu: menyedarkan rakyat Malaysia agar akhlak kita tidak jadi sangat murah harganya. Sekiranya individu berkenaan menyatakan kemaafan secara terbuka atau secara peribadi kepada saya, saya dengan rela memadam artikel ini.

1 comment:

  1. Mana perginya slogan "Layanan Seindah Senyuman" atau "Perkhidmatan Dengan Senyuman" tagline perkhidmatan?.
    Kita di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara jiran, dari segi mutu perkhidmatan.

    ReplyDelete