SAMAN DI UK
Saya ingin kongsikan pengalaman saya dan rakan-rakan yang pernah memandu di UK. Ada yang pernah kena saman, ada yang tidak. Bagi yang pernah kena saman, pengalaman tersebut dikongsikan bersama kepada mereka yang tidak pernah kena agar sejarah tidak berulang.
Saman kesalahan jalan raya di UK, hukuman dendanya melibatkan bayaran yang tinggi serta points ditolak daripada lesen kita. Jumlah bayaran denda dan points yang ditolak adalah bergantung kepada jenis kesalahan yang kita lakukan. Sebagai pelajar di UK, kena saman dan terpaksa mengeluarkan wang untuk membayarnya adalah perkara terakhir anda inginkan berlaku pada anda. Namun jika terkena, apa nak buat. Mungkin kita harus lebih banyak bersedekah agar duit yang keluar tu, sekurang-kurangnya menjana pahala daripada disalurkan untuk membayar saman.
Apa yang berlaku adalah, orang kena saman (OKS) akan menerima surat saman sama ada secara terus apabila ditahan oleh pegawai Polis atau dihantar secara pos terus ke rumah di mana kenderaan yang dibawa didaftarkan. Jika ditahan polis, kita akan diminta masuk ke kereta polis, bersoal jawab dan diterangkan apa kesalahan yang dilakukan lalu surat saman dikeluarkan. Jika saman diterima melalui pos, maklumat didapati daripada imej ditangkap oleh kamera had laju.
Setelah setiap saman dikeluarkan dan diterima oleh OKS, mereka diberi satu tempoh masa yang tertentu untuk mengaku salah atau pun mahu kes tersebut dibicarakan di mahkamah. Jika OKS mengaku salah, jumlah denda saman yang perlu dibayar akan dinyatakan dan OKS diberikan satu tempoh diskaun 50% untuk melangsaikannya. Jika tempoh tersebut tamat, OKS perlu membayarnya secara penuh.
Jika OKS dibicarakan dan didapati tidak bersalah, saman tersebut akan luput.
Jika OKS dibicarakan dan didapati bersalah, denda saman dikeluarkan dan sama seperti di atas, OKS akan menerima satu tempoh diskaun untuk menyelesaikannya. Jika tidak, saman tersebut perlu dilangsaikan secara penuh.
Saya merasakan tidak ada OKS yang berani tidak membayar denda jika mengaku salah atau didapati melakukan kesalahan. Ini kerana mereka telah dididik sedemikian.
Namun begitu, yang lebih menarik adalah kamera-kamera perangkap had laju adalah sebesar-besar objek yang diletakkan jelas di bahu jalan. Pada yang membawa laju, anda memang menempah saman lah.
(Diambil dari http://news.cnet.com/2300-1028_3-6130201.html)
SAMAN DI MALAYSIA
Saya belum pernah kena saman melanggar kesalahan jalan raya di Malaysia. Alhamdulillah. Jadi saya tidak tahu mekanisma yang digunakan.
Pada siapa yang mahu membaca dengan lebih lanjut mengenai saman dan hak kita sebagai pemandu di Malaysia, sila ke sini.
MANA LEBIH BAGUS?
Pada pendapat saya, itu bukan persoalan yang sebenar. Persoalan yang lebih besar adalah bagaimana sesebuah negara mendidik dan membentuk akhlaq masyarakatnya.
Di UK, adalah amat sukar untuk seseorang lulus dalam ujian memandu mereka. Malah ada yang mencuba banyak kali namun tidak juga berjaya mendapatkan lesen memandu. Ramai rakan-rakan saya kelahiran UK yang tidak boleh memandu kerana belum lulus dalam ujian memandu. Oleh itu, dalam mendapatkannya, dedikasi dan disiplin yang tinggi adalah amat penting dalam menelaah buku, membuat simulasi dan belajar teknik-teknik yang tepat untuk memandu supaya lesen memandu dapat diperoleh dengan jayanya.
(Take from http://www.poppydesigns.co.uk/Congratulations/Traffic%20jam.jpg)
Setelah seseorang berjaya mendapatkan lesen, itu adalah satu kepuasan yang dibelakangnya tergalas satu tanggungjawab dan disiplin bagi memastikan mereka menjadi pemandu yang berhemah.
Memang menjadi satu amalan dan tabiat pemandu di UK memberi laluan kepada pemandu lain, mengutamakan pejalan kaki dengan berhenti di zebra crossings (dan bukannya pejalan kaki yang perlu teragak-agak melintas di situ), mengucapkan terima kasih, tidak “langgar lari” dan bersemuka sesama pihak jika berlaku kemalangan.
Di Malaysia? Anda fikir-fikirkan sendiri. Bawak laju macam bini nak beranak, kemudian sangkut juga di lampu isyarat sebelah aku, tergelak aku dalam kereta kat orang macam ni. Lorong laju jadi perlahan, lorong perlahan jadi laju. Ini belum kira yang susah betul nak kasi laluan hatta jalan jam atau memberi peluang kepada pejalan kaki untuk melintas jalan di zebra crossing dan sebagainya.
Oh Rakyat Satu Malaysiaku
Ibn MuSa
Bandar Ilmu
Rabiul Akhir 1432 / Mac 2011
sometime rasa ungkapan "budi bahasa amalan kita" tak diapplykan pun
ReplyDeletepropaganda yang sudah tidak diamalkan. Mungkin perlu ditukar kepada 1 budi 1 bahasa 1 amalan kita (ye lah, semua benda kena ada 1 zaman sekarang ni)
ReplyDelete